Democracy

“Saya hidup di dalam keluarga yang mendokong kerajaan terdahulu”

May 30, 2018

author:

“Saya hidup di dalam keluarga yang mendokong kerajaan terdahulu”

Cerita Undi oleh Wan.

PRU14 merupakan detik bersejarah buat saya, dan juga negara kita Malaysia. Ini adalah merupakan kali pertama saya layak mengundi, tanpa melengahkan masa saya terus menjalankan tanggungjawab saya demi negara tercinta.

Saya hidup di dalam keluarga yang mendokong kerajaan terdahulu. Jika nak diceritakan mengenai ibu bapa saya yang kini umur masing-masing telah mencecah 68 dan 66 tahun (warga emas), umum mengetahui bagaimana sayangnya kelompok ini kepada parti yang asalnya berjuang demi kemerdekaan negara itu. Boleh bergaduh dibuatnya jika saya sentuh sedikit isu-isu semasa dan dilabel sebagai “anak muda apa tahu pasal politik”.

Rakyat diperbodohkan

Cerita mengenai politik, saya tidak ambil berat isu-isu kontroversi seperti kes Altantuya, sodomi 2.0, Teoh Beng Hock, cincin Rosmah, dan lain-lain kerana itu adalah isu-isu yang di luar keupayaan saya untuk mengetahui faktanya. Begitu juga dengan keluarga saya. Pada kami politik sebegini adalah politik kotor, tidak kira mana-mana belah pihak sama ada kerajaan atau pembangkang. Unsur-unsur fitnah tetap ada.

Namun, hari demi hari lebih-lebih lagi kes skandal 1MDB dan penafian tidak berasas pihak pemerintah, dari satu statement kepada satu statement, sekejap bukan derma dan seterusnya hadiah dan derma dari putera Arab, Peguam Negara ditamatkan perkhidmatan dengan cara yang meragukan, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri kabinet digugurkan, istilah 1MDB bagaikan haram disebut secara total walhal di luar negara kes ini sudah kecoh sebagai kes skandal berprofil tinggi yang terbesar dalam sejarah global, membuatkan saya percaya bahawa pemerintah telah melangkaui batas dan bertindak seperti rakyat senang diperbodohkan.

Menariknya, sejak ibu bapa saya didedahkan dengan media sosial yang serba baharu dan semua info ada di hujung jari termasuklah penggunaan WhatsApp dalam berhubung, mereka sendiri mulai sedar bahawa there is something wrong with our government. Pemerintah ibarat sudah angkuh. Bermula saat ini, boleh saya katakan bahawa keluarga saya 100% sudah bersedia untuk mengundi demi perubahan.

Pengalaman depan mata

Sewaktu saya masih menuntut di sebuah universiti awam, penyalahgunaan jentera kerajaan demi kepentingan pemerintah itu sangat jelas! Bermula dari kem-kem ‘kepimpinan’ yang bersifat propaganda hinggalah kepada program-program rasmi serta program ‘isu-isu semasa’ oleh JASA dalam kampus, banyak dimomokkan dengan peringatan terhadap jasa dan bakti pemerintah atas nama ‘benteng terakhir bangsa’. Hak untuk berlainan pendapat disekat. Dan lebih teruk lagi ialah pentadbir universiti tanpa segan silu memaksa mahasiswa untuk terlibat dalam program parti pemerintah! Ya. Bukan atas kapasiti program kerajaan, tapi program parti. Mahasiswa-mahasiswa pro-establishment dilihat tanpa segan silu menyertai program-program yang berunsur politik malah berbangga, walhal mahasiswa yang tidak sehaluan amatlah berhati-hati dan senyap dalam tindakan mereka, silap langkah macam-macam tindakan boleh diambil terhadap mereka.

Berpihak kepada pembangkang pada waktu itu ibarat seperti pembelot negara. Walhal negara kita menjunjung sistem demokrasi berparlimen di mana pembangkang wujud sebagai check and balance kepada kerajaan.

Apabila semua ini berlaku di depan mata saya, pada saya ini sudah cukup. Tempoh 60 tahun memerintah membuatkan mereka lena di tampuk kuasa, menggunakan kelebihan sebagai kerajaan demi kepentingan parti. Luahan rakyat tidak diendah. Enough is enough!

PRU14 dan taktik kotor pemerintah

Sejak Tun Dr. Mahathir mulai mengkritik kepimpinan semasa, berbagai taktik dibuat bagi merosakkan reputasi Tun. Skandal-skandal lama dan isu-isu terdahulu diungkit semula di media-media arus perdana, melenyapkan jasa dan bakti beliau sebagai arkitek Malaysia moden selama 22 tahun. Ironi di sini adalah:

  1. Apa yang kalian semua buat sewaktu skandal-skandal itu berlaku?
  2. Kerajaan ibarat membuka aib sendiri, kerana ketika itu Tun adalah Perdana Menteri dari parti pemerintah yang sama. Kan?

Sewaktu gendang pilihanraya paling getir dalam sejarah Malaysia dipalu, saya melihat bahawa ini adalah PRU yang paling jijik dan kotor. Di saat-saat akhir parti PPBM pimpinan Tun Dr. Mahathir dibubarkan, persempadanan semula kawasan pilihanraya yang paling berat sebelah dan tergesa-gesa, Dewan Rakyat meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar dalam waktu yang amat singkat, kempen pilihanraya parti pemerintah yang bermula lebih awal, tarikh 9 Mei yang jatuh pada hari Rabu, kemudian ditambah pula peraturan terkini pilihanraya yang secara tidak langsung namun jelas niatnya bertujuan menyekat gambar Tun Dr. Mahathir dari dinaikkan dalam poster-poster kempen. Ini menunjukkan pemerintah benar-benar dalam keadaan terdesak yang sangat jelas.

Mempunyai rakan-rakan yang terlibat secara langsung dalam PRU14 baik sebagai jentera parti atau sebaliknya, sememangnya mereka mengakui tindakan pemerintah di atas membuatkan pembangkang pada waktu itu mempunyai harapan yang tipis untuk menang. Jentera-jentera diakui tidak sekuat parti pemerintah. Analisis-analisis menggambarkan parti pemerintah dapat mengekalkan kuasa.

Hari pengundian dan malam bersejarah

Jam 9 pagi pada tanggal 9 Mei 2018 saya dan keluarga pergi ke pusat mengundi. Amat mengagumkan apabila saluran saya iaitu saluran 7 (majoriti orang muda) adalah barisan terpanjang sehingga ke luar kawasan pusat mengundi! Masyarakat berbilang kaum tidak kira Melayu, Cina atau India; muda atau tua; masing-masing turun menzahirkan tanggungjawab patriotik demi negara.

 

Pengundi beratur dengan sabar menunggu giliran

 

Pengundi-pengundi yang beratur bagi saluran 7

Sempat saya berjumpa dengan rakan-rakan dan ada yang mengatakan bahawa, PH boleh menang andai kata jumlah yang turun mengundi adalah lebih dari 80%. Namun jumlah rasmi akhir yang turun mengundi seingat saya tidak dikeluarkan oleh pihak SPR pada hari tersebut.

Malam menjelma dan keputusan satu per satu dipaparkan di televisyen dan laman-laman sesawang. Saya lebih gemar melihat keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh SPR berbanding keputusan-keputusan tidak rasmi lain. Jadi saya menonton TV1 serta laman web SPR bagi mendapatkan keputusan rasmi terkini. Keputusan awal diumumkan rata-rata bagi negeri Sarawak. Namun sehingga jam 10 malam, walaupun BN mendahului di Sarawak, tetapi PH tetap mengejar sengit di belakang. Saya dapat rasakan ini suatu kelainan kerana Sarawak dan Sabah adalah fixed deposit BN, jika begini momentumnya di Sarawak, saya yakin BN harus bersedia terima kekalahan teruk di semenanjung.

Keputusan awal ketika BN mendahului di Sarawak, namun PH mengejar dengan sengit

Akhirnya bermula jam 1 pagi hingga 4 pagi, keputusan adalah jelas bahawa Malaysia akan memasuki era baharu dimana berlakunya peralihan kuasa pertama kali dalam sejarah di peringkat kerajaan persekutuan. Sebagai seorang rakyat yang menjunjung tinggi prinsip demokrasi berparlimen, saya sebak apabila melihat sejarah berlaku di depan mata dan saya boleh berbangga bahawa demokrasi di Malaysia menuju ke arah yang lebih baik. Saya mengimpikan sebuah kerajaan yang benar-benar takut kepada rakyat yang memberi mandat dan boleh disingkirkan dalam setiap PRU andaikata mereka tidak menjalankan amanah dengan telus dan berintegriti.

Liputan rasmi di TV1 dengan jelas menunjukkan dominasi PH dalam PRU14

 

Liputan memaparkan kemenangan wakil rakyat termuda dalam sejarah di P.115 Batu

 

PH+Warisan ketika memperoleh 111 kerusi (PKR 97 + DAP 9) berbanding BN hanya 75

Boleh saya katakan, bahawa rakyat dan terutama sekali masyarakat Melayu bukanlah menolak BN semata-mata, tetapi lebih kepada bertindak memecat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sepatutnya telah lama dilakukan oleh kepimpinan parti UMNO ataupun pengundi di Pekan, Pahang. Rakyat telah muak dengan politik membodek serta kesetiaan membuta tuli kepada pemimpin yang korup dan angkuh.

Memasuki era baharu

YAB Tun Dr. Mahathir serta kabinetnya telah selamat mengangkat sumpah bagi membentuk kerajaan persekutuan yang baharu. Di saat yang penuh ketidaktentuan, saya dan rakyat Malaysia yang lain menaruh harapan yang tinggi agar agenda reformasi dapat dijalankan dengan sebaiknya dan kerajaan baharu PH perlu menggunakan mandat yang diberi ini bagi membuktikan bahawa rakyat telah membuat pilihan yang tepat.

Tanggal 9 Mei semestinya menjadi detik bersejarah bagi kita. Jika 9 Mei merupakan hari peringatan World War II Victory Day di Eropah, tarikh keramat ini juga kini simbolik kepada kemenangan rakyat jelata serta melambangkan kematangan demokrasi di Malaysia.

Akhir kata, I wish Malaysia all the best as we moves into uncharted waters together with hope and aspiration to rebuild our nation for a better future.

Encik Wan
Kuala Lumpur, Malaysia
29 Mei 2018

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »