Expression

“Tidak pernah terfikir pun pada kali ini aku akan menceburkan diri dalam proses pendemokrasian negara.”

May 22, 2018

author:

“Tidak pernah terfikir pun pada kali ini aku akan menceburkan diri dalam proses pendemokrasian negara.”

Cerita Undi oleh Azura Nasron.

Tahun ini merupakan kali pertama aku mengundi. Juga kali pertama aku mengaktifkan diri dalam proses pilihanraya Malaysia yang hanya berlaku 5 tahun sekali ini. Tidak pernah terfikir pun pada kali ini aku akan menceburkan diri dalam proses pendemokrasian negara. Pada pilihanraya yang lepas iaitu pru-13, aku cuma seorang pelajar yang sedang berperah otak demi peperiksaan besar sebelum tamatnya sesi persekolahan iaitu SPM. Aku mengaktifkan diri bersama-sama dengan persatuan Malaysia Muda dan ini adalah cerita undi aku!

Semuanya bermula pada 18 April. Malaysia Muda mula berbincang cara-cara untuk memberi kesedaran kepada rakyat dengan mengangkat isu-isu rakyat secara offline. Dengan kepakaran ahli-ahli yang lain, akhirnya kami bersetuju untuk melakukan teater yang jauh lebih menarik daripada ceramah dan cara yang paling mudah untuk menarik perhatian orang ramai. Kami juga percaya dengan melakukan teater ia akan memberikan pengalaman baru kepada masyarakat perdalaman yang tidak pernah menonton teater. Sekali gus, mengangkat seni sastera dan budaya yang sudah lama ditinggalkan.

Perjalanan kami bermula pada 26 April di Bentong, seterusnya Lembah Pantai, Dungun, Paya Besar, Kuantan, Muar, Bandar Melaka, Masjid Tanah, Simpang Renggam, Paloh, Semenyih, Permatang Pasir dan berakhir pada 8 Mei di Alor Setar. Daripada pertengahan semenanjung kepada selatan dan berakhir di utara kami beramai-ramai menjelajah. Perjalanan-perjalanan yang jauh memberi kami adventura-adventura yang takkan dapat aku lupakan. Daripada sesat jalan, berteka-teki, berlakon, bergaduh, merajuk, berdiskusi, masuk kampung dan tentunya makan-makan.

Untuk teater, kami telah menyediakan dua skrip. Yang pertama akan menceritakan tentang kebaikan dan retorik GST yang akan dihujahkan oleh pak-pak menteri. Lalu bangkitnya salah satu rakyat yang akan melawan pak menteri dengan cara debat antara penonton. Bagi skrip yang kedua, seorang menteri yang mengunakan topeng badut akan menceritakan pendirian pak-pak menteri disebalik wajah mereka yang baik di media dan parlimen. Disini, badut yang memainkan watak jahat dan zalim akan mengangkat isu-isu perkauman supaya rakyat Malaysia bergaduh, menakut-nakutkan masyarakat dengan bangsa cina, membiarkan negara dalam keadaan hutang, 1MDB, menyediakan rumah mahal supaya boleh dibeli oleh orang negara luar dan banyak lagi. Lalu, bangkitnya seorang rakyat yang akan menghancurkan menteri-menteri yang hipokrit tadi dengan pidato ringkas dan bacaan puisi oleh Wiji Thukul.

Dalam banyak-banyak tempat kami berteater, rata-rata yang hadir adalah perempuan. Tetapi kebanyakan sekali adalah yang sudah berkahwin dan warga tua. Jauh sekali untuk melihat anak muda. Ada pun anak muda akan duduk jauh menyorok di sebalik kegelapan atau di belakang tiang. Di kawasan bandar, masa kami berteater, makcik-makcik yang hadir paling banyak sekali bersuara dan menunjukkan ketidakpuashatian kepada pihak pentadbiran sewaktu itu. Dengan lantang, mereka menjerit hak-hak mereka yang diambil. Tetapi situasi ini berubah di kawasan luar bandar. Dimana kebanyakan yang bersuara dan bersorak adalah para lelaki yang tua dan muda.

Dikawasan-kawan perkampungan, isu-isu seperti harga rumah, 1MDB atau hutang negara tidak mendapat begitu banyak sambutan. Tetapi yang paling terkesan bagi mereka adalah harga barang yang semakin meningkat dan juga minyak yang mahal. Juga para ibu yang risau tentang kenaikkan harga susu dan pampers anak-anak. RM50 kini sudah tidak cukup untuk dua perkara tersebut. Belum lagi dengan barangan yang lain. Melihat warga tua hadir dengan penuh harapan untuk perubahan adalah perkara yang paling menyedihkan sekali. Mereka adalah mangsa tertindas yang tidak dapat berbuat apa. Tidak mampu melakukan 2-3 kerja untuk menampung hidup. Tidak mampu melawan dan tidak mampu untuk turun ke demo.

Tetapi bukan disemua kawasan tempat kami berteater diterima. Ada juga dikawasan-kawasan yang penuh dengan penyokong Barisan Nasional, kami diarahkan untuk diam dan duduk. Ada yang terus pulang dan tidak mahu mendengar. Malah, ada juga yang menekan hon dan menghalau kami untuk keluar daripada kampung mereka. Ada juga masa-masa ada penonton hampir menumbuk aktor kami yang menjadi menteri kerana begitu geram dengan retorik yang disampaikan. Ada yang fikir anak-anak muda ini semua sedang mencari populariti.

Akhir sekali, tanpa pasukan yang hebat, perjalanan ini tidak akan berjaya. Tapi, satu hal yang menarik tentang mereka semua ini adalah tentang diri mereka sendiri yang datang daripada kelas profesional dan intelektual tetapi begitu rendah diri, turun kejalan dan tidak bising di facebook sahaja. Teater ini mungkin sudah berakhir, tetapi perjuangan yang lebih besar masih belum tamat. Selagi masih wujud orang susah di kampung dan miskin di bandar, mahasiswa ditindas idea-idea pemikiran mereka, hak-hak minoriti tidak diangkat, kita masih belum menang dan perjalanan kita masih jauh.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »